Blog ini bersifat umum.. memaparkan isu terpilih di dalam dan luar negara.. sekadar renungan bersama.
Anda dijemput meninggalkan sebarang komen tentang isu yang dipaparkan. Terima kasih!

Saturday, September 18, 2010

Kuasa Autonomi Sabah???

Autonomi di Sabah jika Pakatan kuasai Puterajaya (malaysiakini)


Impak ikrar Pakatan Rakyat untuk memberikan kuasa autonomi kepada Sabah jika mereka membentuk kerajaan pusat pada pilihan raya umum akan datang hanya berkesan jika mereka meletakkan calon berwibawa mewakili mereka.

Penganalis politik James Chin percaya faktor calon amat penting, khususnya bagi PKR kerana sejarah silam yang dikongsi oleh rakyat negeri itu dengan ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semasa menjadi timbalan perdana menteri ketika pentadbiran Tun Dr Mahthir Mohamad, Anwar dilihat sebagai dalang yang menumbangkan kerajaan negeri pembangkang pimpinan PBS pada 1994.

Meskipun memenangi pilihan raya negeri Sabah buat kali ketiga berturut-turut, walaupun dengan majoriti mudah, kerajaan PBS terus tumbang apabila pemimpin dan ADUNnya berpaling tadah ke BN.

"Rakyat mempunyai perasan berbelah-bahagi terhadap Anwar tetapi jika PKR boleh mengemukakan calon berwibawa, saya tidak melihat perkara ini sebagai satu isu,” kata Chin ketika dihubungi hari ini.

Ketika melancarkan Pakatan Sabah di Kota Kinabalu pada malam Rabu lalu, Anwar bersama penasihat DAP Lim Kit Siang dan timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, berikrar bahawa Sabah akan diberikan autonomi penuh jika Pakatan Rakyat menduduki Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

"Hal ehwal Sabah akan ditentukan oleh Sabah,” kata Anwar yang dipetik The Borneo Post hari ini.

Pemimpin nasional dan negeri Pakatan daripada ketiga-tiga parti - PKR, PAS dan DAP - menghadiri majlis itu tetapi parti bebas SAPP tidak hadir.

Menurut Chin yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Monash, ketidak-hadiran SAPP tidak memberi kesan asalkan semua mereka sepakat untuk bertanding satu lawan satu dengan BN pada pilihan raya akan datang.

Katanya, ikrar autonomi itu agak signifikan di Sabah kerana sentimen tersebut masih kuat berhubung perjanjian 20 perkara yang dimeterai semasa pembentukan Malaysia antara Malaya, Sarawak dan Singapura pada 1963 yang terus diketepikan oleh kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun perkara itu kurang berkesan di Sarawak kerana ketua menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berjaya mengurangkan campur tangan persekutuan di negeri itu pada tahap minimum.

"Terdapat lebih banyak campur tangan persekutuan di Sabah kerana kerajaan pembangkang,” katanya yang merujuk kepada PBS.

FT - kuasa autonomi di Sabah???
emm.. sekali dengar bunyinya agak baik.. mungkin akan lebih baik dari apa yang ada sekarang..
macam Hong Kong la nanti.. walaupun di bawah China tetapi Hong Kong dapat autonomi..

namun.. politik di Malaysia ialah pasal janji menjanji..
siapa dapat menjanji yang lebih baik.. pasti dapat memikat pengundi..
tunai atau tidak janji itu.. belakang kira..

kah kah kah!!

Thursday, September 16, 2010

Sabah Aman Atau Musa Aman??

Ini Saddam Hussain Pengganas dari Iraq kata Amerika... benarkah??










Ini Rosli Dhobi Pengganas dari Sarawak kata British. Benarkah??















Ini Chin Peng Pengganas Komunis di Malaya kata British dan kata Buku Teks Sejarah Malaysia! Benarkah??















Sarawak, Sabah Aman Lepas Sertai Malaysia
(bernama)

Penyertaan Sarawak dan Sabah dalam membentuk Malaysia pada 1963 banyak memberi faedah kepada kedua-dua wilayah tersebut khasnya dari segi keselamatan dan nikmat keamanan.

Kanang anak Langkau, 65 bekas Sarjan Mejar Rejimen Renjer Diraja ke-8 berketurunan Dayak berkata, rakyat tidak lagi berasa takut dengan sebarang ancaman dari luar malah berasa lebih selamat sekaligus memudahkan perancangan untuk pembangunan dilakukan.

Sarawak sememangnya negeri bertuah kerana sejak bersama dalam Malaysia rakyatnya dapat hidup rukun ramai dan bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama, katanya kepada Bernama pada majlis sambutan Hari Malaysia peringkat Bahagian Seri Aman hari ini.

Menurutnya generasi baru hari ini perlu diberi kesedaran dan penjelasan yang secukupnya betapa penting perpaduan dalam semangat 1Malaysia yang merentasi setiap budaya dan agama rakyat berbilang kaum di Sarawak.

"Apa yang utama hari ini adalah mengekalkan semangat bersatu padu rakyat di Sarawak dan memastikan mereka tidak berasa terpinggir jika masih ada tempat di negeri ini yang belum menikmati kemajuan," katanya yang dianugerahkan dengan Pingat Panglima Gagah Berani pada 7 Jun 1987 dan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa pada 3 Jun 1981 oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau dianuerahkan pingat itu kerana keberanian dan kejayaannya menyerang dan membunuh lima orang komunis serta merampas peralatan mereka di Hutan Simpan Korbu, Sungai Siput, Perak pada 1, Jun 1979.

Kanang juga adalah bekas Pengesan Jejak Iban pada 21 April 1962 sebelum diserapkan ke Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 Sept 1963 dan beliau menamatkan perkhidmatan sebagai Pegawai Waran 1, selepas 21 tahun berkhidmat.

Beliau turut berkata selepas terbentuknya Malaysia pada 16 Sept 1963, Sarawak menikmati pelbagai arus pembangunan dan kemajuan di seluruh negeri.

Pelbagai usaha dilakukan kerajaan di bawah konsep 1Malaysia untuk membangunkan kawasan luar bandar khasnya di Sarawak, kata Kanang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia itu berkata selepas 47 tahun bersama Malaysia, Sarawak banyak mencapai kejayaan bukan sahaja di peringkat nasional malah juga global.

Beliau berkata selain menikmati keamanan, Sarawak juga dilimpahi pembangunan yang pesat di segenap pelusuk negeri melalui pelbagai dasar pembangunan kerajaan.

"Hargailah nikmat keamanan dan kemajuan ini bersama dan ia tidak datang serta hadir dengan begitu mudah kerana inilah hasil perjuangan pemimpin dan pejuang negara yang terdahulu yang perlu kita ingati hari ini iaitu 16 Sept," kata Rohani.


FT- berita ini dipetik dari bernama dan malaysiakini.. tidak pasti jika ada juga di utusan ataupun berita hairan sebab sudah lama aku tidak membeli akhbar tipu tersebut..

Namun perhatikan tajuknya "Sarawak, Sabah Aman Lepas Sertai Malaysia" tetapi ceritanya hanya mengisahkan tentang SARAWAK saja. Ternyata nama SABAH hanya MENUMPANG saja.

Faktanya.. komunis yang dianggap pengganas oleh British dan Malaya tidak pernah bertapak di Sabah.. jadi tiada kaitan langsung keamanan di Sabah dengan serangan komunis!

Fakta lagi.. komunis berjuang bermati-matian untuk menghalau penjajah British demi kemerdekaan. Tidak seperti pemimpin UMNO dulu yang meminta kemerdekaan daripada penjajah.. kesannya penjajah memberikan kemerdekaan politik walaupun sebenarnya masih terus menguasai ekonomi Malaya selepas itu!!

Kini.. jumlah PTI terutama dari Filipina telah dan sedang membiak dengan banyaknya di Sabah. Ia umpama sebuah bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa.. terjaminkah keamanan di Sabah pada masa depan??

Renung-renungkan..

Selamat Hari Malaysia Untuk Warga Sabah











Jeffrey: Tuan Rumah Hari Malaysia Negeri Paling Mundur
(malaysiakini)

Sabah yang menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia terus merupakan negeri yang serba serbi mundur dari segi pembangunan infrastruktur walaupun telah 47 tahun mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia pada 1963, lapor TV Selangor.

Pimpinan PKR Sabah, Jeffery Kitingan memetik buku Rancangan Malaysia Ke-9 yang melaporkan Sabah sebagai negeri yang paling mundur dan termiskin di Malaysia.

"Kalau kita lihat perbandingan antara negeri -negeri, Sabah nombor 14, dari segi pencapaian pembangunan," katanya kepada TV Selangor di Shah Alam, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan timbalan menteri pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri yang menyatakan, masyarakat luar bandar di Sabah harus bersyukur kerana penyertaan Sabah dalam Persekutuan Malaysia 47 tahun yang lalu adalah suatu keputusan kepimpinan terdahulu yang tidak sia-sia.

Beliau dipetik berkata transformasi secara umum telah banyak berlaku di luar bandar khususnya daripada segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam walaupun tidak dapat dinafikan masih ada sedikit lompang.

Abdul Rahim membuat kenyataan itu apabila diminta mengulas mengenai penganjuran Hari Malaysia yang pertama kalinya dalam sejarah dianjurkan di Malaysia Timur iaitu di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

Jeffery mengakui wujud pembangunan di Sabah tetapi ternyata ia tidak seimbang antara satu wilayah dengan wilayah lain tetapi secara keseluruhan, banyak kawasan belum menerima kemudahan yang memadai.

“Ada pembangunan, tetapi tidak seimbang. Ada yang belum ada jalan raya, belum ada elektrik, air bersih. Tapi kebanyakan, belum ada," katanya.

Lantaran itu, Jeffery kecewa dengan pencapaian berkenaan dan menuntut kepada pimpinan negeri dan pusat, kedua-duanya diterajui Umno Barisan Nasional (BN) supaya lebih prihatin dengan nasib yang menimpa masyarakat luar bandar di Malaysia Timur.

"Sebanyak 24 peratus penduduk Sabah digelar sebagai rakyat miskin.

Sepatutnya selepas 47 tahun kita merdeka dan menubuhkan Malaysia, perkara ini sudah selesai. Sekurang-kurangnya setara di peringkat kebangsaan iaitu kurang daripada 6 peratus. Ini bererti kita jauh ketinggalan," katanya


FT - sudah nasib dikandung badan...
pemimpin Sabah kaya-raya... orang kampung masih menderita

Sampai bila??? Perlukah menunggu hingga 47 tahun lagi???

Fikir-fikirkan..

Kasihan Sabah dan Sarawak

Lim Guan Eng: 47 Tahun Sabah Tak Dipeduli (malaysiakini)

Setelah 47 tahun bergabung dalam Malaysia, kedudukan istimewa bumiputera di Sabah dan Sarawak masih tidak dipedulikan manakala kedudukan ekonomi rakyat di kedua-dua negeri itu juga masih menyedihkan, kata ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, menurut Lim, pada masa yang sama, ada "pihak-pihak tertentu" yang mengaut keuntungan besar daripada negeri itu tanpa mempedulikan nasib anak negeri.

"Di satu sudut, ada pihak di semenanjung yang berjuang mempertahankan kedudukan istimewa Bumiputera yang mereka anggap sebagai hak asasi dan dianggap tidak boleh dibincangkan sama sekali.

"Di satu sudut yang lain pula, para pejuang ini tidak mempedulikan kedudukan istimewa yang sama untuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak," katanya yang juga setiausaha agung DAP.

Dalam satu kenyataan sempena sambutan hari Malaysia esok, Lim berkata, gagasan Malaysia diharap membawa kepada perpaduan yang lebih erat di kalangan rakyat melalui perkongsian dan pengagihan sumber yang lebih adil.

Katanya, jika kerajaan pusat benar-benar mahu menjamin dan melindungi keistimewaan Bumiputera, ia perlu memastikan pelaksanaan keadilan untuk semua Bumiputera tanpa mengira suku, kaum, agama dan kedudukan geografi.

Sehubungan itu, tambahnya, kerajaan perlu memastikan Sabah dan Sarawak menikmati peluang-peluang yang sama seperti yang dinikmati oleh negeri-negeri di semenanjung.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula berkata setelah sekian lama Malaysia terbentuk, kita boleh boleh lagi "menyapu sampah ke bawah tikar" dalam menangani pelbagai persoalan seperti isu urus tadbir kerajaan yang lemah.

Katanya, perkara itu akan mengheret pelbagai isu rasuah, penyelewengan serta masalah sosial seperti jenayah, kemiskinan serta prejudis kaum dan agama yang tebal.

"Setiap masalah yang muncul perlu dihadapi untuk penyelesaian tuntas. Ini hanya dapat dilakukan dengan penegasan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban," kata Khalid yang juga ADUN Ijok dan ahli parlimen Bandar Tun Razak.

"Suka atau tidak, ia perlu dilakukan agar disiplin pengurusan ekonomi yang mapan dapat mengambil tempat."


FT - terkadang... cemburu juga melihat perubahan baik yang dibawa oleh parti pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor...

Jika dibandingkan dengan jiran terdekat iaitu Sarawak.. Sabah memang ketinggalan. Lihat saja bandaraya Kuching dengan bandaraya Kota Kinabalu.. memang amat menyedihkan!!

Perubahan perlu dilakukan.. berubah ke arah kebaikan.. kebaikan untuk semua!

Wednesday, September 15, 2010

Jangan lah... Please lah..

Woi Mamat... Tahun Depan La Mintak!!!



Cuepacs: Naikkan umur persaraan - 60 tahun (malaysiakini)

Kerajaan diminta menaikkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun bagi 1.2 juta penjawat awam di Malaysia supaya seragam dengan amalan negara lain di rantau ini.

Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata sehingga kini, Malaysia masih ketinggalan di belakang negara jiran yang mempunyai umur persaraan antara 60 dan 62 tahun.

Beliau berkata sehubungan itu, Cuepacs berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, akan meluluskan cadangan itu dan mengumumkannya ketika pembentangan Bajet 2011 bulan depan.

"Kami telah meminta supaya umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun sejak beberapa tahun lalu, dan pada 2006, kami menyerahkan satu memorandum berhubung perkara itu, namun kerajaan hanya bersetuju menaikkannya sehingga 58 tahun.

"Justeru, kami harap kerajaan boleh mempertimbangkannya kerana ia satu opsyen dan bukan wajib, seperti juga apabila umur persaraan dinaikkan daripada 56 kepada 58 tahun, ia satu opsyen, bukannya automatik," katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Kerajaan juga, katanya, perlu memastikan bahawa umur persaraan di Malaysia seragam dengan apa yang diamalkan di negara jiran seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Umur persaraan bagi Thailand, Brunei dan Indonesia ialah 60 tahun, manakala di Singapura 62 tahun.

Kali terakhir isu mengenai umur persaraan dibangkitkan di negara ini ialah pada 2008, iaitu sebelum ia dinaikkan kepada 58 tahun.

Omar berkata, baru-baru ini, pemain industri perbankan tempatan telah bersetuju menaikkan umur persaraan pekerjanya dan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia masih mampu menyumbang kepada ekonomi negara meskipun umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun.

"Graduan baru atau mereka yang masih mempunyai tahun perkhidmatan yang panjang sebagai penjawat awam tidak perlu bimbang. Kita perlu bersikap terbuka kerana ia satu opsyen dan bukannya wajib," katanya.

Beliau berkata ini kerana kepakaran serta pengalaman penjawat awam masih diperlukan, dan dengan menaikkan umur persaraan, ia mampu memberi pilihan kepada mereka yang berpengalaman untuk terus berkhidmat kepada negara.

"Kami tidak pasti jika kerajaan akan menerima cadangan ini, namun kami berharap ia akan dipertimbang dan diputuskan secepat mungkin," katanya.

FT - patutlah ramai graduan menganggur... bukannya tiada kerja
tapi tiada kekosongan...
untuk orang-orang lama bergelar super duper veteren...
turunlah.. kasi can orang muda mau naik...

tapi dalam hati gua.. cadangan ni bagus jugak..
tapi jangan la dulu diluluskan tahun ini..
tahun depan boleh la..

kah kah kah!!

Rajagopal Bergaduh Berebut Takhta

Tiada Mahkamah Boleh Cabar Pelantikan Sultan (Bernama)



Seorang anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang juga seorang peguam terkenal, Datuk Mohd Shukri Mohamad berkata majlis pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru semalam tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Katanya, ini kerana keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan berdasarkan Pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, tiada pihak yang boleh mencabar keputusan MPN dalam urusan pelantikan atau pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru kerana ia dibuat mengikut perlembagaan di bawah undang-undang tubuh kerajaan Negeri,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, di Kota Bharu hari ini.

Mohd Shukri yang mengaku dititahkan oleh Sultan Kelantan untuk mengendalikan sidang media itu juga turut merujuk kepada kenyataan media yang dibuat oleh seorang peguam dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli mewakili Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra semalam yang mempertikaikan keputusan MPN mengadakan majlis pemasyuran pelantikan Sultan Kelantan yang baru itu.

Beliau berkata, pelantikan Tetuan Rashid Zulkifli sebagai peguam kepada Sultan Ismail Petra masih lagi dipertikaikan dan kini sedang dicabar.

“Ini merupakan suatu perkara yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan melalui petisyen No 1, 2010 dan Petisyen 2, 2010 ekoran ketidak upayaan Sultan Ismail (berikutan kegeringannya)," katanya.

Beliau mendakwa, tetuan Rashid telah gagal mengemukakan apa-apa keterangan perubatan untuk membuktikan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk mengarahkan firma tersebut bertindak bagi pihak baginda berhubung dengan prosiding di depan Mahkamah Persekutuan sekarang.

“Tetuan Rashid juga gagal untuk mendedahkan apa-apa keterangan perubatan yang menunjukkan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan untuk memahami kandungan petisyen dan afidavit yang didakwa difailkan di Mahkamah Persekutuan melalui petisyen no.1 2010 dan petisyen no.2 2010 terbabit,” katanya.

Beliau berkata, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) boleh dan telah dipinda dengan cara perisytiharan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan dengan izin dan persetujuan Majlis Penasihat Raja.

Mohd Shukri mendakwa, kedua-dua petisyen yang didakwa telah difailkan oleh Tetuan Rashid Zulkifli di Mahkamah Persekutuan bagi pihak Sultan Ismail Petra adalah tidak relevan dengan isu sama ada pindaan-pindaan berasaskan Perkara 3 undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kelantan adalah sah atau tidak.


FT - malas nak baca berita ni..

Rakyat sibuk bekerja untuk mencari makan..

Menteri pun sibuk berkempen dan membodek untuk mencari pengundi..

Rajagopal pula sibuk bergaduh dan berebut untuk mencari kedudukan...

Mana-mana kamurang la.. yang penting bahagia!!

Khairy Hantam Utusan Meloya

Khairy Bidas Utusan Kerana Sokong PERKASA (malaysiakini)


Meskipun pemimpin Umno dan BN menjauhkan diri mereka daripada kumpulan pendesak Melayu - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), namun akhbar Utusan Malaysia terus menyokongnya.

Dalam edisinya hari ini, akhbar milik Umno itu menyiarkan satu halaman penuh artikel-artikel yang mempertahankan NGO itu termasuk memuatkan bancian yang kononnya menunjukkan kebanyakan orang Melayu menyokong PERKASA.

Dalam reaksi kepada tindakan Utusan Malaysia itu, ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar - seorang daripada pengkritik hebat PERKASA - melancarkan serangan secara berselindung di akaun Twitter.

Khairy menulis bahawa beliau “berpendapat akhbar tertentu itu perlu diingatkan siapa pemiliknya”. “Saya penyokong pembaharuan supaya akhbar lebih bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma hari ini, saya tidak boleh menerima bentuk editorial akhbar tertentu,” tulisnya. Meskipun Khairy tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataannya jelas ditujukan kepada Utusan.

Ketua pemuda Umno itu juga telah berulang-kali menegaskan bahawa Umno tidak bersekongkol dengan PERKASA dalam apa bentuk sekalipun. Sejak seminggu lalu, beberapa pemimpin kanan Umno termasuk setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli majlis tertinggi, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap PERKASA. Mereka mendakwa pandangan melampau PERKASA berhubung hak dan dan keistimewaan Melayu akan meminggirkan sokongan bukan Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

Utusan melalui beberapa artikelnya telah menyokong PERKASA dan rencana pengarangnya pada Ahad lalu menggesa Umno supaya memikirkan semula hubungan dengan NGO itu.


FT - akhbar pembodek ni sudah mula lawan tokeh
tokeh akhbar ini tak lain dan tak bukan ialah UMNO..

kenapa dan mengapa??
sebab baru-baru ini bekas PM yang juga penaung PERKASA telah memberi amaran
supaya UMNO jangan berbalah dengan PERKASA
sebelum itu TPM juga ada buat kenyataan tentang kebebasan PERKASA untuk bersuara

Nampaknya semacam ada pakatan antara Dr. M dengan TPM dan Utusan untuk menyokong PERKASA.. ini secara tidak langsung membelakangkan BAPA 1 MALAYSIA KITA!!

Di manakah beliau??? Mengapa beliau masih belum memberikan komen??
Mungkin beliau masih sibuk berhari raya... tak apa.. lepas raya ni muncul la beliau tu..

hehehe..